
Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah
kita. Aumm! Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam.
Lalu apa yang terjadi? Sudah tentu ramai antara kita bertempiaran lari,
menjerit, bertakbir, menyorok bawah katil, mengunci diri di dalam bilik
dan ada juga yang terus terkejut pengsan.
Bayangkan pula seekor nyamuk terbang mas
uk ke dalam rumah kita. Nggg! Apa yang terjadi?Hmm, ia
terbang bebas ke hulu hilir. Ramai yang buat tidak tahu sahaja. ‘Apalah
yang perlu ditakutkan dengan seekor nyamuk,’ hati berbisik. Cuma seekor.
Jelas, semua orang takut kepada sesuatu yang besar
kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada sesuatu yang
kecil. Sedangkan, jika dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham
harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, yang mana lebih ramai?
Bandingannya mudah. Berapa kali setahun secara
anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa
Pak Belang? Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam
denggi, malaria, Japanese Encephalitis, untut dan sebagainya yang
semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?
Begitulah analogi yang boleh dikaikan dengan fenomena
zina pada hari ini. Semua orang takut dan bencikan zina. Ia dianggap
perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai yang tidak takut pada perkara-perkara yang
boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh.
Tiada sensitive untuk menghindarinya. Akibatnya, yang kecil ini membawa
kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.
Tidak hairanlah Quran menyuruh supaya berawas terhadap
perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan
seburuk-seburuk jalan” (Surah al-Isra’ 17:32)
Nyamuk-nyamuk Ikhtilat
SMS, panggilan telefon, dating, chatting, dan
bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki
dan perempuan yang bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri
zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan
antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Dalam Islam, asal pergaulan
antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, “al-asl fi
al-ikhtilat haram” (asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan
bukan mahram adalah haram).
Namun jika atas dasar urusan kerja, maka interaksi
antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Kaedah syarak
tentang asal hukum muamalat adalah “al asl fi al-muamalat al-ibahah”
(asal hukum berkaitan muamalat ialah harus).
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut,
“al-darurah tubihu almahzurat “ yang bermaksud darurat membolehkan
apa-apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini
tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, keharusan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya,
sebaliknya ada adab, akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak
yang lain menyebut, darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang beralasankan “urusan” untuk menghalalkan ikhtilat (pergaulan
antara lelaki dan perempuan bukan mahram) terlarang. Panggilan telefon,
SMS, dating, dan chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “urusan”?
Urusan adalah sesuatu yang apabila dibentangkan di
hadapan Allah swt, kita yakin kita mampu menjawab dan berhujah bahawa ia
adalah urusan maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa
was was sama ada ia suatu urusan atau tidak, berawaslah.
Daripada al-Nawwas bin Sam’an ra, bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kebajikan
itu ialah keelokkan budi pekerti dan dosa itu adalah apa yang bergetar
dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)
Cinta Fitnah
Cinta asalnya suci dan bersih boleh tercemar apabila
disalurkan kepada jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh
Yusof al-Qardawi apabila ditanya tentang cinta sebelum bernikah: “Saya
ingin tegaskan apa yang sering dikatakan. Saya tidak menyetujui apa yang
dilaungkan segolongan orang yang tentang pentingnya bercinta sebelum
berkahwin kerana cara itu dikhuatiri mengundang bahaya dan terjebak
dalam syubhat.”. Kata beliau lagi; “ berapa orang mula bercinta dengan
cara yang tidak benar seperti berpacaran melalui percakapan telefon
dengan bicara yang sia-sia. Ia sering kali dilakukan oleh anak-anak muda
ketika waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini
kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasa berlaku dalam
rumah tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik si remaja mahupun
ibubapanya. Awalnya memang cuba-cuba tetapi akhirnya ketagihan. Awalnya
sekadar suka-suka akhirnya serius.”
Menghampiri zina semakin menjadi trend atau budaya
muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasululullah saw telah
mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud. “Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuat kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad)
Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan
perempuan bermula dengan perbuatan yang “berat-berat” terus. Ia biasanya
dimulai dengan yang “ringan-ringan” dahulu atau apa yang disebut
sebagai menghampiri zina. Ingatlah pesan Nabi saw ini;
“Mata itu berzina dan zinanya adalah dengan
memandang (tanpa keperluan). Lisan berzina dan zinanya adalah dengan
bercakap (yang sia-sia, lucah, mendayu-dayu, dan lain-lain). Kaki itu
berzina dan zinanya adalah dengan melangkah (untuk maksiat). Tangan itu
berzina dan zinanya adalah dengan menyentuh dan memeluk (untuk maksiat).
Hati itu berkeinginan dan berangan-angan. Faraj yang kemudian
membenarkan atau mendustakannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)








































